05 Ogos 2017 (Sabtu) – Majlis ini telah diadakan pada 17 Mei yang lalu di bawah kendalian Majlis Perwakilan Pelajar Pra-Universiti (MPPPU) SMK Majakir yang diketuai oleh Pn. Audrey Koh Sui Ean. Majlis kali ini walaupun diadakan pada skala sederhana namun tetap meriah melalui kerjasama yang diberikan oleh semua warga guru dan pelajar yang terlibat. Pemilihan tema pakaian warna ‘pink’ telah menyerlahkan lagi keceriaan sambutan Hari Guru pada kali ini. “Guru Pembina Negara Bangsa” dikekalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai tema Sambutan Hari Guru pada tahun ini. Seperti yang warga guru sedia maklum tugas seorang guru kini semakin mencabar dan tidak tertakluk semata-mata untuk menyampaikan ilmu pengetahuan. Menggalas gelaran ‘Guru Abad Ke-21‘ bermakna warga guru kini lebih berperanan sebagai pemudah cara. Oleh itu warga guru perlu lebih bersikap terbuka dan bersedia untuk membuat perubahan dalam mengendalikan sesi Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc). Untuk itu warga guru perlu lebih inovatif, kreatif dan efektif di dalam mengurus situasi pembelajaran di sekolah. Kesemua ini hanya boleh dicapai sekiranya warga guru komited terhadap tugas hakiki mereka agar transformasi pendidikan yang dihasratkan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) dapat dijadikan satu realiti.

Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah merupakan platform yang sesuai untuk memberi pengiktirafan terhadap sumbangan dan jasa warga guru di samping memberi peringatan mengenai amanah dan tanggungjawab besar yang digalas oleh setiap guru pada masa kini.

Warga guru SMK Majakir yang diketuai oleh Tn. Hj. Abdul Aziz B. Mohamed, Pengetua Cemerlang dan barisan Penolong Kanan bersedia untuk bergerak ke Dewan Jubli Perak SMK Majakir.

Pengawas dan pelajar Pra-Universiti menyambut dan mengalu-alukan perarakan masuk barisan guru ke Dewan Jubli Perak SMK Majakir.

Barisan Penolong Kanan dan Ketua Bidang.

Warga guru SMK Majakir yang sentiasa ceria.

Suasana di dalam dewan bersama warga pelajar yang diketuai oleh barisan Ketua Kelas serta Penolong Ketua Kelas.

Ucapan alu-aluan Pengetua serta bacaan teks ucapan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Dr. Khair Bin Mohamad Yusof.

Gimik Pelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah 2017.

Bacaan Ikrar Hari Guru yang diketuai oleh Pengetua dan barisan Penolong Kanan.

Ikrar Guru

Bahawasanya kami
Guru-guru negara Malaysia
Dengan ini berikrar
Mendukung terus cita-cita kami
Terhadap tugas kami
Dan menyatakan keyakinan kami
Pada cita-cita murni pekerjaan kami
Kami akan berbakti
Kepada masyarakat
Dan negara kami.

Kami sentiasa menjunjung
Perlembagaan negara
Kami mengamalkan
Prinsip-prinsip Rukun Negara
Pada setiap masa.

Nyanyian lagu Guru Malaysia oleh warga guru SMK Majakir.

Guru Malaysia

Kami guru Malaysia
Berikrar dan berjanji
Mendidik dan memimpin
Putra putri negara kita.

Pada Seri Paduka
Kami tumpahkan setia
Rukun Negara kita
Panduan hidup kami semua.

Di bidang pembangunan
Kami tetap bersama
Membantu, membina
Negara yang tercinta.

Amanah yang diberi
Kami tak persiakan
Apa yang kami janji
Tunai tetap kami tunaikan.

Acara memotong kek sumbangan warga pelajar.

Persembahan khas pelajar untuk warga guru.

Terima kasih cikgu.

Wakil kelas menyampaikan hadiah kepada guru kelas.

Mengabadikan kenangan bersama MPPPU yang berjaya menganjurkan majlis sambutan Hari Guru pada tahun ini. Tahniah.