Archives for Pentadbiran - Page 7
21 Mei 2013 (Selasa) – Majlis Anugerah Kualiti Sekolah (MAKS) pada tahun ini telah diadakan pada 2 Mei yang lalu bertempat di Dewan Jubli Perak SMK Majakir. Majlis ini telah dirasmikan oleh En. Abidin Marjan, Pegawai Pelajaran Daerah Papar. Majlis yang diadakan pada setiap tahun ini adalah untuk memberi pengiktirafan kepada warga sekolah khususnya kepada para pelajar yang telah berjaya melakarkan kecemerlangan akademik di dalam Peperiksaan Awam PMR, SPM dan STPM. Penghargaan turut diberikan kepada para guru serta pihak luar yang sama-sama telah menyumbang ke arah kecemerlangan sekolah.

Akibat dari keadaan cuaca yang tidak mengizinkan, perbarisan Kawalan Kehormatan telah diadakan di dalam Dewan Jubli Perak.
Di majlis ini juga, En. Abidin Marjan telah diberi penghormatan melancarkan Majalah Jubli Emas Edisi Khas SMK Majakir sempena Sambutan Jubli Emas sekolah pada tahun ini.
Berikut adalah senarai lengkap para penerima anugerah mengikut kategori yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah :
UNIT KOKURIKULUM
A. Anugerah Kokurikulum Kategori Individu
B. Anugerah Kokurikulum Kategori Kumpulan
C. Anugerah Khas Kokurikulum
UNIT HAL-EHWAL MURID
A. Anugerah Pencapaian Merit Tertinggi
B. Anugerah Kehadiran 100% Ke Sekolah 2012
C. Anugerah Pelajar Asrama Cemerlang
D. Anugerah Kepimpinan Pengawas
E. Anugerah Pengurusan Kelas Terbaik
UNIT KURIKULUM
A. Anugerah Pelajar Terbaik Mata Pelajaran Tingkatan 1

Dayang Nurhidayah Aliyah Bte Kamarudin (1 KRK) – Terbaik mata pelajaran Bahasa Melayu, Pendidikan Agama Islam, PJK dan Kemahiran Hidup.
B. Anugerah Pelajar Terbaik Mata Pelajaran Tingkatan 2
C. Anugerah Pelajar Terbaik Mata Pelajaran Tingkatan 4
- Nor Syhaeera Bte Ag. Rasehe (4 Teknologi) – Terbaik mata pelajaran Matematik dan Prinsip Akaun.

Dg Nurazwani Bte Azaman (4 Sains) – Terbaik mata pelajaran Pendidikan Agama Islam, Biologi dan Matematik Tambahan.
D. Anugerah Pelajar Cemerlang Keseluruhan Tingkatan 1
E. Anugerah Pelajar Cemerlang Keseluruhan Tingkatan 2
F. Anugerah Pelajar Cemerlang Keseluruhan Tingkatan 4
G. Anugerah Mata Pelajaran Pencapaian 100% PMR 2012
H. Anugerah Mata Pelajaran Pencapaian 100% SPM 2012
I. Anugerah Pelajar Terbaik PMR 2012
J. Anugerah Pelajar Terbaik SPM 2012 – Aliran Sains
K. Anugerah Pelajar Terbaik SPM 2012 – Aliran Kemanusiaan
L. Anugerah Pelajar Terbaik STPM 2012
UNIT PENTADBIRAN
A. Anugerah Khas Pelajar Harapan PMR 2013
B. Anugerah Khas Pelajar Harapan SPM 2013
C. Anugerah Khas Pelajar Harapan STPM 2013
D. Anugerah Permuafakatan Dengan Agensi Luar
Fotografi oleh : Pelajar-pelajar Kelab Bestari SMK Majakir dan En. Jamalit Angak.
08 Mei 2013 (Rabu) – Pada 27 April yang lalu, pihak sekolah telah menerima lawatan penandaarasan KRK dari SM Maktab Sabah. Rombongan seramai 46 orang pelajar KRK dan 6 orang guru pengiring ini telah diketuai oleh Pn. Hjh. Nuinda Hj. Alias, Pengetua SM Maktab Sabah. Turut serta dalam rombongan ini ialah 2 orang Pengetua dari negeri jiran Sarawak.
Antara objektif utama lawatan adalah seperti berikut :
- Untuk meningkatkan pengetahuan dalam pengurusan Kelas KRK.
- Untuk mengeratkan kerjasama antara SMK Majakir dan SM Maktab Sabah.
- Untuk mengeratkan silaturrahim antara guru serta pelajar KRK SMK Majakir dan SM Maktab Sabah.
- Untuk meningkatkan serta berkongsi idea dalam kalangan pelajar KRK untuk mengurus dan mentadbir kelas mereka.
- Untuk meningkatkan tahap keyakinan diri dalam kalangan pelajar KRK kedua-dua buah sekolah.
Rombongan ini telah menaiki keretapi dan tiba di Stesen Keretapi Papar pada jam 0830 pagi dan disambut mesra oleh Tn. Hj. Abdul Aziz Mohamed Zain, Pengetua Cemerlang SMK Majakir serta beberapa guru yang terlibat dengan Kelas KRK. Rombongan telah dibawa ke SMK Majakir dengan van sekolah.

Ketibaan Pn. Hjh. Nuinda Hj. Alias serta rombongan disambut mesra oleh Tn. Hj. Abdul Aziz Mohamed Zain di Stesen Keretapi Papar.
Ahli rombongan telah diberi taklimat mengenai pentadbiran dan pengurusan Kelas KRK di Bilik Mesyuarat SMK Majakir oleh Tn. Hj. Abdul Aziz Mohamed Zain dan diikuiti oleh ucapan balas Pn. Hjh. Nuinda Hj Alias.
Rombongan turut dibawa melawat ke beberapa lokasi strategik sekitar sekolah antaranya ialah ; Surau, Bilik Bimbingan dan Kaunseling dan Pusat Sumber Sekolah. Sebelum bertolak balik, rombongan telah dijamu dengan sedikit jamuan ringkas yang diadakan di Dewan OKK Mat Zakir.
Bahan Berita : Pn. Dg. Sarinah Ag. Sura, Setiausaha Jawatankuasa KRK SMK Majakir.
Foto : En. Jamalit Angak
06 Mei 2013 (Isnin) – Sekolah Lestari – Anugerah Alam Sekitar (SLAAS) merupakan program anjuran Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia dan dengan kerjasama teknikal dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia. Program ini telah dilancarkan pada 27 Januari 2005.
Program SLAAS berkonsepkan pendekatan menyeluruh yang melibatkan semua lapisan warga sekolah bersama masyarakat setempat, kerajaan, pihak swasta dan badan bukan kerajaan yang menitikberatkan pendekatan bersepadu dalam 4 komponen utama iaitu ; pengurusan, penghijauan, kurikulum dan kokurikulum.
Penganugerahan diberi kepada 2 kategori iaitu ; sekolah rendah dan sekolah menengah. Pada tahun 2012, SMK Majakir telah terpilih untuk mewakili negeri Sabah bagi kategori sekolah menengah ke peringkat Kebangsaan. Sehubungan dengan itu pihak sekolah telah dilawati oleh Panel Penilai SLAAS Peringkat Kebangsaan pada 07 November 2012. Panel Penilai ini telah diketuai oleh YBhg. Dato’ Mohamed Razali Bin Dato’ Mohamed Yusoff dan diiringi oleh Dr. Kalithasan a/l Kailasam, En. Mohd Shafiee Bin Abd Ghani dan Pn. Nurul Safaniza Binti Che Ani.

Ketibaan Panel Penilai SLAAS Kebangsaan disambut mesra oleh Jawatankuasa SERASI / LESTARI SMK Majakir.

Buku terbitan sekolah yang berkaitan dengan program penghijauan sekolah antara yang menarik perhatian panel penilai.
Pada 23 April 2013 yang lalu, SMK Majakir telah dianugerahkan 2 Anugerah Persijilan Khas iaitu bagi Kategori ; Anugerah Khas Bilik Lestari dan Anugerah Khas Sekolah Harapan Lestari di Majlis Penganugerahan Sekolah Lestari – Anugerah Alam Sekitar (SLAAS) 2011/12 Peringkat Kebangsaan yang telah diadakan di Sekolah SMK Dato’ Onn, Pulau Pinang.
Tahniah kepada semua warga sekolah yang telah berusaha, bekerja keras serta sama-sama menyumbang idea dan tenaga ke arah kelestarian sekolah.
Bahan Berita dan Foto : Pn. Hajijah Hasan
10 April 2013 (Rabu) – Pada 08 April yang lalu, sekolah telah menerima lawatan seorang penulis yang terkenal dari Indonesia iaitu Professor Dr. Seno Gumira Ajidarma serta rombongannya. Turut serta ialah En. Jasni Matlani selaku YDP Badan Bahasa Dan Sastera Negeri Sabah atau ringkasnya BAHASA. Kehadiran ahli rombongan telah disambut mesra oleh Pihak Pentadbir sekolah. Satu majlis perkongsian ilmu telah diadakan di Bilik Gerakan SMK Majakir untuk memberi peluang kepada para pelajar Tingkatan 4 dan 5 Sastera menimba pengalaman berharga.

Para pelajar Tingkatan 4 dan 5 Sastera dengan penuh minat mengikuti sesi perkongsian ilmu pada pagi tersebut.
Turut hadir ialah Dr. Free Hearty, Ibu Linda Ramsita, Ibu Ike Susilowati (isteri kepada Professor Dr. Seno) dan Pn. Dg.Ku Mastura Pg. Ismail. Di majlis tersebut, Professor Dr. Seno telah membacakan satu cerpen pendek yang bertajuk “Orang yang selalu cuci tangan“. Di pihak sekolah, adik Nurul Sabrina Izzati Roslan (3 KAA) telah berpeluang untuk membacakan puisi yang bertajuk “Ayah“. Dua lagi pelajar iaitu adik Mahirah Saad dan adik Nur Izzati Roslen turut membacakan puisi yang bertajuk “Pulang“.
Di majlis ini juga para pelajar telah berpeluang mendengar ceramah ringkas mengenai ciri-ciri untuk menjadi seorang penulis yang baik. Ceramah tersebut telah disampaikan oleh Pn. Dg.Ku Mastura Pg. Ismail. Beliau merupakan seorang penulis sambilan yang mewakili Unit Bahasa Dan Sastera Daerah Papar.

En. Jasni Matlani menerima cenderahati daripada Tn. Hj. Abdul Aziz Mohamed Zain, Pengetua Cemerlang SMK Majakir.

Dari kiri : Pn. Sitti Khadijah S. Mohammad (Ketua Bidang Bahasa), Ike Susilowati, Cik Noor Lina Hj. Mahmood (Ketua Bidang Vokasional Dan Teknik), Ibu Linda Ramsita, Dr. Free Hearty, Pn. Norazidah Mulkiaman (Ketua Panitia Kesusasteraan Melayu), Pn. Rokiah Juman dan Pn. Dg.Ku Mastura Pg. Ismail.
Pihak sekolah ingin merakamkan ucapaan jutaan terima kasih kepada Professor Dr. Seno Gumira Ajidarma dan En. Jasni Matlani serta rombongan kerana telah memilih SMK Majakir sebagai salah satu destinasi lawatan. Semoga perkongsian ilmu yang singkat ini akan membuahkan hasil yang positif dalam kalangan warga sekolah khususnya para pelajar.
Bahan Berita : Pn. Norazidah Mulkiaman – Ketua Panitia Kesusasteraan Melayu
Ustaz Zorimi Yacob sedang memberi penjelasan kepada semua guru dan pelajar muslim mengenai tujuan sekolah mengadakan solat sunat hajat.
12 Mac 2013 (Selasa) – Pada 8 Mac yang lalu, pihak sekolah dengan kerjsama Panitia Pendidikan Islam telah mengadakan solat sunat hajat bertempat di Dewan Jubli Perak SMK Majakir. Solat sunat hajat ini telah melibatkan semua pelajar muslim serta guru-guru yang berkelapangan. Acara ini bermula pada jam 8 pagi dan telah diimamkan oleh Ustaz Zorimi Yacob. Tujuan mengadakan solat sunat hajat ini adalah untuk memohon hajat dan mengharapkan pertolongan daripada Allah SWT agar ;
- Negeri Sabah khususnya bebas dari segala bencana dan ancaman musuh negara yang ingin mengugat kedaulatannya.
- Dijauhkan rakyat malaysia yang berada di Sabah daripada segala bentuk ancaman dan pengkhianatan.
- Dibersihkan negeri Sabah ini daripada segala anasir jahat dan penceroboh seperti apa yang sedang berlaku di Lahad Datu, Sabah.
- Keselamatan anggota keselamatan (PDRM) dan anggota pertahanan (ATM) negara yang sedang berjuang menghapuskan penceroboh terpelihara.
- Keamanan dapat dikembalikan di negeri Sabah secepat yang mungkin.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mempunyai hajat kepada Allah SWT atau kepada seorang manusia, maka hendaklah ia berwuduk dengan sebaik-baiknya kemudian dia bersolat dua raka’at.”
(Riwayat At-Tarmizi)
Allah SWT berfirman yang maksudnya : Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku.
Al-Baqarah (2): 186
Pelajar, Ibu bapa dan guru sepakat terhadap target yang telah ditetapkan bersama. Semoga apa yang dihasratkan akan dapat dicapai.
9 Mac 2013 (Sabtu) – Program ini telah diadakan pada 2 Februari yang lalu bertempat di Dewan Jubli Perak SMK Majakir. Perasmian telah disempurnakan oleh Tn. Hj. Abdul Aziz Mohamed Zain, Pengetua Cemerlang SMK Majakir. Ibu bapa pelajar telah dijemput hadir untuk sesi perbincangan dan bersama-sama menetapkan target untuk anak mereka. Pihak sekolah juga telah mengambil kesempatan di majlis ini untuk mengadakan ceramah mengenai SARANA Sekolah yang telah disampai oleh Tn. Hj. Abdul Aziz Mohamed Zain.
Sesi pendaftaran kehadiran ibu bapa.
Kehadiran ibu bapa sangat menggalakkan pada pagi tersebut.
Tn. Hj. Abdul Aziz Mohamed Zain sedang menyampaikan ceramah mengenai SARANA Sekolah.
Sesi penetapan target dan perbincangan dengan ibu bapa pelajar bersama pelajar telah diadakan di kelas.
Guru dan ibu bapa pelajar berbincang mengenai kaedah terbaik untuk memastikan pelajar mendapat sokongan, suntikan semangat serta dorongan dari kedua-dua pihak.
Ibu bapa dan guru yang prihatin terhadap pencapaian pelajar akan dapat memberi impak yang positif dalam diri pelajar. Pelajar akan lebih bersemangat dan bermotivasi untuk melakukan yang terbaik agar harapan dan hasrat ibu bapa dan guru untuk melihat kejayaan pelajar menjadi satu realiti.
Dari kiri : Pn. Normahani, Pn. Hajijah, En. Gordon Thompson dam Pn. Lilian.
o7 Mac 2013 (Khamis) – Pada 20 Februari yang lalu pihak sekolah telah menerima lawatan tak rasmi daripada seorang guru yang pernah menabur bakti mengajar di SMK Majakir sekitar tahun 1970-1972. Beliau yang dimaksudkan ialah En. Gordon Thompson warga negara Kanada yang suatu ketika dahulu pernah mengajar mata pelajaran Kimia Tingkatan 4 dan 5, Biologi dan Sains Kesihatan kepada para pelajar SMK Majakir yang dahulunya dikenali sebagai SMK Papar. Kehadiran beliau ditemani oleh isteri, Pn. Lilian yang berasal dari Kampung Surati Papar.
Beberapa orang guru secara sukarela telah membantu dan mengiringi beliau melawat persekitaran sekolah. Walaupun telah meninggalkan SMK Majakir selama lebih kurang 40 tahun namun memori ketika beliau bertugas sebagai guru sukarelawan dari Kanada masih segar dalam ingatan.
En. Gordon Thompson mengisi buku pelawat di Bilik Gerakan SERASI SMK Majakir.
Terpesona melihat koleksi lukisan serta bahan-bahan berkaitan dengan penjagaan alam sekitar.
En. Gordon dan isteri melawat taman yang terletak dengan kantin sekolah yang dahulunya merupakan sebahagian daripada bilik istirehat guru. Beliau turut memuji usaha-usaha yang telah diambil oleh pihak sekolah untuk mengindahkan kawasan persekitaran sekolah dengan taman-taman yang menghijau.
En. Gordon dan isteri sempat meluangkan masa bersama-sama dengan pelajar Kelas 1 KRK. (Foto oleh : Pn. Normahani Jamaludin)
En. Gordon turut berkongsi gambar serta cerita nostalgia yang terdapat di dalam majalah sekolah terbitan 1970-72.
En. Gordon turut dibawa melawat ke Galeria SMK Majakir yang menyimpan pelbagai koleksi cendera kenangan, hasil kerja pelajar serta gambar-gambar lama yang mengimbau seribu kenangan.
Sebelum pulang, En. Gordon dan isteri sempat mengunjungi kuarters guru lama yang diduduki oleh beliau semasa berkhidmat di SMK Majakir. Kini rumah tersebut telah dijadikan sebagai pusat untuk menggumpul bahan-bahan terpakai seperti kertas, tin dan botol untuk tujuan dikitar semula.
Pihak sekolah ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih diatas kesudian En. Gordon dan isteri melawat SMK Majakir. Terima kasih juga kerana telah sudi meminjamkan koleksi majalah sekolah milik peribadi beliau.